Wednesday, March 16, 2022

HADIS 152 (BAB 70)

BAB 70

 

70 - بَابُ وُجُوبِ الْإِيمَانِ بِرِسَالَةِ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى جَمِيعِ النَّاسِ، وَنَسْخِ الْمِلَلِ بِمِلَّتِهِ

KEWAJIPAN IMAN TERHADAP RISALAH NABI MUHAMMAD KEPADA SELURUH MANUSIA SERTA MENASAKHKAN SYARIAH DENGAN SYARIAH MUHAMMAD

 

HADIS 152

 

 (152) حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ، حَدَّثَنَا لَيْثٌ، عَنْ سَعِيدِ بْنِ أَبِي سَعِيدٍ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «مَا مِنَ الْأَنْبِيَاءِ مِنْ نَبِيٍّ إِلَّا قَدِ اُعْطِيَ مِنَ الْآيَاتِ مَا مِثْلُهُ آمَنَ عَلَيْهِ الْبَشَرُ، وَإِنَّمَا كَانَ الَّذِي أُوتِيتُ وَحْيًا أَوْحَى اللهُ إِلَيَّ، فَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَكْثَرَهُمْ تَابِعًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ»

 

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah saw bersabda: "Tidaklah setiap nabi melainkan dia pasti diberi tanda (sebagai bukti kenabian mereka) semisalnya, yang dengan itu, manusia beriman kepadanya. Sedangkan yang diberikan kepadaku hanyalah wahyu yang diturunkan oleh Allah. Oleh karena itu, aku berharap menjadi nabi yang paling banyak pengikutnya (dibandingkan dengan) mereka pada hari kiamat."

  

PENJELASAN HADIS

 

[1] Maksud perkataan الْآيَاتِ adalah tanda-tanda. Dalam hadis ini, tanda yang dimaksudkan adalah bukti kenabian bagi seseorang nabi. Justeru, ia dimaksudkan sebagai mukjizat.

 

[2] Nabi menjelaskan bahawa setiap Nabi itu akan diberikan mukjizat. Mukjizat dari perkataan عجز yang bermaksud lemah. Justeru, makna معجزة adalah  sesuatu keajaiban yang diberikan tuhan dengan tujuan untuk melemahkan musuh.

 

[3] Nabi menyatakan: إِلَّا قَدِ اُعْطِيَ مِنَ الْآيَاتِ مَا مِثْلُهُ –iaitu, mukjizat nabi-nabi dahulu seiras antara satu dengan yang lain, seperti melibatkan hal-hal yang bersifat magik; tongkat yang boleh belah laut dan menjadi ular, hidupkan orang mati, keluar unta dari batu dan sebagainya.

 

[4] Nabi menyatakan: وَإِنَّمَا كَانَ الَّذِي أُوتِيتُ وَحْيًا أَوْحَى اللهُ إِلَيَّ—iaitu, al-Quran, iaitu mukjizat berbentuk intelektual, hujah dan pembuktian. Dengan sebab itu, ia relevan di semua bangsa dan serta setiap masa dan tempat.

 

[5] nabi saw menyatakan: فَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَكْثَرَهُمْ تَابِعًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ—kalau umat dahulu, pendekatan mereka dibataskan kepada kaum tertentu, tidak hairan pendekatannya berbentuk magik, perkara yang menyalahi adat dan sebagainya. Namun, pendekatan Nabi Muhammad saw berbentuk intelektual, penghujahan dan bukti, tidak hairan syariat Nabi Muhammad itu bersifat universal; merentasi kaum dan bangsa. Dengan itu, pasti umat nabi Muhammad jauh lebih ramai berbanding umat nabi-nabi sebelum ini.

 

HUBUNGAN HADIS

 

Dalam hadis ke-150, dijelaskan berkenaan kelebihan Nabi dahulu. Khususnya Nabi Lut dan Nabi Yusuf.

 

Dalam hadis ke-151 ini pula, dijelaskan kelebihan Nabi Muhammad berbanding nabi-nabi dahulu pula.

 

PENJELASAN: seakan-akan Imam Muslim mahu seimbangkan cara fikir umat Islam dalam melihat para Nabi.

 

Jangan jadi seperti orang yahudi yang nampak kelebihan Nabi Musa, sehingga tidak nampak kelebihan nabi Isa dan Nabi Mujammad. Ataupun sepertimana orang Nasrani yang nampak kelebihan nabi Isa sehingga tidak nampak pula kelebihan Nabi Musa dan Nabi Muhammad.

 

Hal ini selaras dengan firman Allah:

 

قُولُوا آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا وَمَا أُنْزِلَ إِلَى إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ وَالْأَسْبَاطِ وَمَا أُوتِيَ مُوسَى وَعِيسَى وَمَا أُوتِيَ النَّبِيُّونَ مِنْ رَبِّهِمْ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِنْهُمْ وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ (136) – البقرة

Katakanlah (wahai orang-orang yang beriman): "Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (Al-Quran), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta anak-anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil), dan kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi dari Tuhan mereka; kami tidak membeza-bezakan antara seseorang dari mereka (sebagaimana yang kamu - Yahudi dan Nasrani - membeza-bezakannya); dan kami semua adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-mata” (Surah al-Baqarah, ayat 136)

 

Demikian juga dengan hadis—daripada Abu Sa’id al-Khudri berkata:

 

جَاءَ رَجُلٌ مِنَ اليَهُودِ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ لُطِمَ وَجْهُهُ، وَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ، إِنَّ رَجُلًا مِنْ أَصْحَابِكَ مِنَ الأَنْصَارِ لَطَمَ فِي وَجْهِي، قَالَ: «ادْعُوهُ» فَدَعَوْهُ، قَالَ: «لِمَ لَطَمْتَ وَجْهَهُ؟» قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنِّي مَرَرْتُ بِاليَهُودِ، فَسَمِعْتُهُ يَقُولُ: وَالَّذِي اصْطَفَى مُوسَى عَلَى البَشَرِ، فَقُلْتُ: وَعَلَى مُحَمَّدٍ، وَأَخَذَتْنِي غَضْبَةٌ فَلَطَمْتُهُ، قَالَ: «لَا تُخَيِّرُونِي مِنْ بَيْنِ الأَنْبِيَاءِ، فَإِنَّ النَّاسَ يَصْعَقُونَ يَوْمَ القِيَامَةِ، فَأَكُونُ أَوَّلَ مَنْ يُفِيقُ، فَإِذَا أَنَا بِمُوسَى آخِذٌ بِقَائِمَةٍ مِنْ قَوَائِمِ العَرْشِ، فَلَا أَدْرِي أَفَاقَ قَبْلِي أَمْ جُزِيَ بِصَعْقَةِ الطُّورِ»

“Seseorang dari Yahudi datang menemui Rasulullah saw dengan wajah yang ada kesan dipukul, lalu ia berkata kepada baginda: "Ya Muhammad, Aku telah dipukul oleh salah seorang dalam kalangfan sahabatmu dari golongan Ansar”

 

Nabi saw pun bersabda agar memanggil sahabat tersebut. Mereka pun memanggilnya kemudian Nabi saw bertanya: "Kenapa engkau pukul dia?" Dia menjawab: "Wahai Rasulullah, pada waktu itu aku melintasi orang Yahudi ini, lalu aku mendengar dia berkata: “Demi Zat yang telah memilih Musa dari semua manusia” Maka aku berkata: “Apakah dari Muhammad juga? hingga dia membuatku marah, maka aku memukulnya.

 

Nabi saw pun bersabda: "Janganlah kamu  melebihkan sebahagian nabi dengan sebahagian yang lain. Sesungguhnya pada hari kiamat manusia dalam keadaan pingsan, lalu aku adalah orang yang mula-mula sekali mengangkat kepala dari tanah, namun aku mendapati Musa telah berada di sisi 'Arasy, aku tidak tahu apakah dia lebih dahulu bangun daripada aku atau dia sudah cukup dengan pingsannya ketika di bukit Thur” (al-Bukhari, hadis no: 4638)

 

PENGAJARAN HADIS

 

[1] PERLAWANAN PARA NABI DENGAN MUSUH

 

Dalam al-Quran, Allah swt sebut berkenaan perlawanan itu hendaklah menggunakan pendekatan yang sama. Di era Nabi Musa, perlawanan berbentuk sihir, maka tidak hairan mukjizat Nabi Musa adalah tongkat yang bertukar menjadi ular. Begitulah selanjutnya;

 

الشَّهْرُ الْحَرَامُ بِالشَّهْرِ الْحَرَامِ وَالْحُرُمَاتُ قِصَاصٌ فَمَنِ اعْتَدَى عَلَيْكُمْ فَاعْتَدُوا عَلَيْهِ بِمِثْلِ مَا اعْتَدَى عَلَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ (194) – البقرة

“(Mencabuli) bulan yang dihormati itu ialah dengan (sebab membalas pencabulan dalam) bulan yang dihormati; dan tiap-tiap perkara yang dihormati itu (jika dicabuli), ada balasannya yang seimbang. Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu; dan bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah: Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa”

 

[2] MUKJIZAT DAHULU HABIS DENGAN LUPUT ERA MEREKA

 

Mukjizat Nabi dahulu terluput apabila era mereka berlalu. Namun berbeza dengan mukjizat nabi Muhammad saw yang relevan di setiap masa dan tempat.

 

Bahkan, perkataan nabi dalam hadis ini sudah boleh dianggap sebagai mukjizat. Hal ini kerana, semasa nabi saw ungkapkan ini, islam baru sekitar mekah dan Madinah serta berlegar dalam kalangan masyarakat arab. Kalau ada bangsa lain pun, mereka duduk dalam komuniti arab.

 

Namun, pada hari ini Islam sudah sampai di seluruh pelusuk dunia; sudah dianuti oleh seluruh bangsa dalam dunia ini.

 

BIOGRAFI PERAWI

  

[5] QUTAIBAH BIN SA’ID (150H-240H)

قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ

 

Nama penuhnya adalah ABU RAJA’ QUTAIBAH BIN SA’ID AL-BALGHANI AL-BALKHI أبو رجاء قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ البغلاني البلخي

 

Dia berasal dari Balkh, Afghanistan. Dia adalah guru semua imam kutub Sittah kecuali Ibn Majah sahaja ambil hadisnya dengan ada perantara, iaitu melalui Muhamad bin Yahya al-Zuhli dan Ibn Abi Syaibah. Dia merupakan murid kepada Imam Malik dan Imam al-Lais.

 

Menurut Abu Daud, dia masuk ke Baghdad tahun 216 hijrah. Apabila sampai di situ, Imam Ahmad dan Yahya datang berjumpa dengan dia.

 

Abu Hatim al-Razi pula kata, apabila dia sampai di Baghdad, Imam Ahmad datang belajar hadis darinya. Abu Bakar bin Abi Syaibah dan Ibn Numair dari Kufah datang ke Baghdad untuk buat ujian kekuatan hafalan dia, serta dia buat ujian juga pada kekuatan hafalan dua ulama kufah tersebut. Kejadian itu berlaku sampai ke subuh.  Dia ada perawi siqah lagi sahih.

 

[4] LAIS BIN SA’AD BIN ABDUL RAHMAN BIN AL-HARIS AL-FAHMI ABU AL-HARIS AL-MISRI AL-QALQASYANDI (94H-175H)

لَيْثٌ بن سعد بن عبدالرحمن بن الحارث الفهمي ابو الحارث المصري القلقشندي

 

Salah Seorang ulama fiqh yang terkenal sehingga dikatakan mempunyai mazhab sendiri yang disebut sebagai Mazhab al-Lais.

 

al-Imam al-Syafie pernah berkata:

 

الليث أفقه من مالك، إلا أن أصحابه لم يقوموا به

“al-Lais itu lebih faqih berbanding Malik. Namun, murid-muridnya tidak kembangkannya”

 

Dia dilahirkan di Qalqasyandah, Mesir, tetapi asal keturunannya adalah dari Farsi, iaitu dari ASBAHAN.

 

kealimannya dalam bidang fiqh amat dihormati oleh para ulama pada zaman itu. Seorang ulama bernama ABDULLAH BIN WAHAB AL-MISRI pernah berkata:

 

لولا الليث ومالك لضللنا

“kalau tidak kerana al-Lais dan Malik, sudah pasti kita akan tersesat”

 

Dia terkenal dengan zuhud serta pemurah, walaupun dia bukan dari kalangan orang kaya. Dikatakan bahawa setiap terjadi musim sejuk dan musim panas, dia pasti akan membuat majlis makan dengan menjemput orang-orang miskin; dijamukan mereka madu dan keju, sedangkan dia selalu hanya makan roti berlaukkan minyak zaitun sahaja.

 

Dikisahkan bahawa duit simpanannya selalu habis dengan memberi makan kepada fakir miskin menyebabkan wangnya selalu tidak cukup haul untuk membayar zakat.

 

Dia meninggal empat tahun sebelum kematian Imam malik.

 

Dia adalah Rijal al-Kutub al-Sittah, dan seorang perawi yang siqah lagi sahih.

 

[3] SA’ID BIN ABI SA’ID (125H)

 سَعِيدِ بْنِ أَبِي سَعِيدٍ

 

Ulama Madinah ini sering disebut dengan nama SA’ID BIN KAISAN. Hal ini kerana, nama bapanya yang sebenar adalah KAISAN, sedangkan ABU SA’ID itu adalah geralan kerana sempena kepada namanya.

 

Riwayatnya dari Aisyah dan Ummu Salamah tidak boleh diterima kerana dia riwayatkan itu secara MURSAL.

 

Menurut al-Asqalani, Ya’qub bin Syaibah al-Sadusi dan Ibn Abd al-Bar al-Andalusi, hafalannya celaru empat tahun sebelum kematiannya. Namun begitu, al-Zahabi kata, semasa dia celaru hafalan, tidak ada seorang pun murid yang belajar hadis darinya.

 

Dia adalah rijal al-Kutub al-Sittah, dan perawi siqah lagi sahih.

 

[2] ABU SA’ID KAISAN AL-MAQBURI AL-MADANI (100H)

 أبو سعيد كيسان  المقبري المدني

 

Ulama Madinah ini adalah bapa kepada ulama hadis terkenal bernama SA’ID BIN KAISAN. Nama sebenarnya adalah KAISAN, tetapi dipanggil juga dengan ABU SA’ID.

 

Dia mendapat gelaran المقبري iaitu perkuburan, kerana dia diamanahkan untuk menggali kubur kepunyaan keluarga Bani Dinar serta menjaga kubur mereka. Ada pula kata, tempat tinggal dia berhampiran dengan tanah perkuburan Baqi’, di Madinah.

 

Dia meninggal di era pemerintahan al-Walid bin Abdul Malik.

  

Dia meninggal di Madinah semasa pemerintahan Khalifah al-Walid, dan dia salah seorang tabiin besar.

 

Al-Waqidi kata, dia siqah dan banyak riwayatkan hadis. dia adalah Rijal al-Kutub al-Sittah dan perawi yang siqah lagi sahih.

 

[1] ABU HURAIRAH

أَبو هُرَيْرَةَ


TAKHRIJ

 

Al-Nasaie (al-Kubra—11064)


No comments:

Post a Comment

HADIS 159 (SYAWAHID HADIS 158) (MUTABA-AH 1-2-3)

  HADIS 159 (SYAWAHID HADIS 158)   حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ أَيُّوبَ وَ إِسْحَاقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ جَمِيعًا عَنِ ابْنِ...