Tuesday, July 26, 2022

HADIS 155 (BAB 71)

 

BAB 71

 

بَابُ نُزُولِ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ حَاكِمًا بِشَرِيعَةِ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

TURUN NABI ISA BIN MARYAM SEBAGAI ORANG BERHUKUM DENGAN SYARIAH NABI KITA—MUHAMMAD SAW.

 

HADIS 155

 

 حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ حَدَّثَنَا لَيْثٌ ح، وَحَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ رُمْحٍ أَخْبَرَنَا اللَّيْثُ عَنِ ابْنِ شِهَابٍ عَنِ ابْنِ الْمُسَيِّبِ أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ يَقُولُ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «وَالَّذِي نَفْسِي[1] بِيَدِهِ، لَيُوشِكَنَّ أَنْ يَنْزِلَ فِيكُمْ ابْنُ مَرْيَمَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَكَمًا مُقْسِطًا، فَيَكْسِرَ الصَّلِيبَ، وَيَقْتُلَ الْخِنْزِيرَ، وَيَضَعَ الْجِزْيَةَ، وَيَفِيضُ الْمَالُ حَتَّى لَا يَقْبَلَهُ أَحَدٌ»

Rasulullah saw bersabda: Demi nyawaku berada di tangaNya, akan tiba bahawa anak Maryam (Nabi Isa) akan turun pada kamu untuk menegakkan hukum yang adil. Dia pun pecahkan salib, membunuh anjing dan menyediakan hukum jizyah. Harta melimpah ruah sehingga tidak ada seorang pun yang menerimanya.

 

HUBUNGAN HADIS

 

Dalam hadis 154, dijelaskan berkenaan ahli kitab mendapat dua pahala andai mereka beriman dengan Nabi Muhammad saw.

 

Dalam hadis ke-153, dijelaskan bahawa orang yahudi dan Nasrani, jika mereka tidak beriman dengan Nabi, maka mereka adalah ahli neraka.

 

Dalam hadis ke-117, diceritakan bahawa sebelum kiamat, akan datang angin lembut dari Yaman—semua yang kena angin itu akan mati. Yang tinggal hanya mereka yang tidak ada iman sahaja.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: " إِنَّ اللهَ يَبْعَثُ رِيحًا مِنَ الْيَمَنِ أَلْيَنَ مِنَ الْحَرِيرِ، فَلَا تَدَعُ أَحَدًا فِي قَلْبِهِ - قَالَ أَبُو عَلْقَمَةَ مِثْقَالُ حَبَّةٍ، وَقَالَ عَبْدُ الْعَزِيزِ: مِثْقَالُ ذَرَّةٍ - مِنْ إِيمَانٍ إِلَّا قَبَضَتْهُ"

 

Dalam hadis ini pula (155), dijelaskan berkenaan kedatangan Nabi Isa yang merupakan tanda hampir dengan kiamat.

 

 

 

PENJELASAN MATAN

 

[1] Dimulakan dengan وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ yang bermaksud sumpah. Tujuannya adalah untuk menggambarkan perkara yang mahu disampaikan itu adalah penting.

 

[2] kedatangan Nabi Isa akhir zaman nanti, antara yang baginda lakukan adalah membunuh Dajjal. Dalam Sunan Abi Daud, diriwayatkan:

 

عَنِ النَّوَّاسِ بْنِ سَمْعَانَ الْكِلَابِيِّ، قَالَ: ذَكَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الدَّجَّالَ، فَقَالَ: «إِنْ يَخْرُجْ وَأَنَا فِيكُمْ فَأَنَا حَجِيجُهُ دُونَكُمْ، وَإِنْ يَخْرُجْ وَلَسْتُ فِيكُمْ، فَامْرُؤٌ حَجِيجُ نَفْسِهِ، وَاللَّهُ خَلِيفَتِي عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ، فَمَنْ أَدْرَكَهُ مِنْكُمْ فَلْيَقْرَأْ عَلَيْهِ فَوَاتِحَ سُورَةِ الْكَهْفِ، فَإِنَّهَا جِوَارُكُمْ مِنْ فِتْنَتِهِ» ، قُلْنَا: وَمَا لَبْثُهُ فِي الْأَرْضِ؟ قَالَ: " أَرْبَعُونَ يَوْمًا: يَوْمٌ كَسَنَةٍ، وَيَوْمٌ كَشَهْرٍ، وَيَوْمٌ كَجُمُعَةٍ، وَسَائِرُ أَيَّامِهِ كَأَيَّامِكُمْ "، فَقُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، هَذَا الْيَوْمُ الَّذِي كَسَنَةٍ، أَتَكْفِينَا فِيهِ صَلَاةُ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ؟ قَالَ: «لَا، اقْدُرُوا لَهُ قَدْرَهُ، ثُمَّ يَنْزِلُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ عِنْدَ الْمَنَارَةِ الْبَيْضَاءِ شَرْقِيَّ دِمَشْقَ، فَيُدْرِكُهُ عِنْدَ بَابِ لُدٍّ، فَيَقْتُلُهُ» – ابو داود, 4321

Al-Nawwas bin al-Sam’an al-Kilabi berkata: "Rasulullah saw menyebut berkenaan Dajjal. Baginda bersabda: "Jika saat Dajjal keluar aku masih bersama kamu, maka akulah yang akan melindungi kamu darinya. Namun jika ia keluar dan aku tidak lagi bersama kamu, maka setiap orang harus melindungi dirinya sendiri. Allah adalah pelindung bagiku dan setiap muslim. Barangsiapa dari kalangan kamu berjumpa dengannya, hendaklah dia baca awal surah Al-Kahfi, sebab itu akan melindungi kamu dari fitnahnya" Kami lalu bertanya: “Berapa lama ia akan tinggal di bumi?" baginda  menjawab: "Empat puluh hari. Satu hari seakan setahun, dan sehari seakan sebulan, dan sehari seakan sejumaat dan hari-harinya dia sama sebagaimana hari-hari kamu" Kami bertanya lagi: "Wahai Rasulullah, pada hari yang seakan satu tahun, apakah solat kami akan mencukupi untuk waktu sehari semalam?". Baginda menjawab: "Tidak. Hitunglah berdasarkan kadarnya. Kemudian Isa anak Maryam akan turun di sisi menara putih, sebelah timur kota Damsyiq. Lalu ia menemukan Dajjal di pintu Lud (sebuah tempat di dekat Baitulmaqdis). Dia pun membunuhnya"

 

[3] antara lain, Nabi Isa diceritakan dalam hadis ini bahawa melaksanakan hukum yang adil. Dalam hadis, digunakan perkataan حَكَمًا مُقْسِطًا – membawa maksud bahawa Nabi Isa akan membawa keadilan kepada umat. Baginda bukan membawa syariat baru atau syariat baginda, tetapi baginda membawa syariat Nabi Muhammad saw. Cuma dilaksanakan secara adil setelah sekian lama umat nabi Muhammad tidak laksanakannya secara adil.

 

[4] Antara lain, nabi Isa mematahkan salib. Dalam matan hadis, digunakan perkataan فَيَكْسِرَ الصَّلِيبَ  - iaitu Nabi Isa mematahkan salib.

 

[5] Bukan sekadar itu, bahkan nabi Isa membunuh babi. Dalam matan hadis, perkataan وَيَقْتُلَ الْخِنْزِيرَ – membunuh babi.

 

Dalam komentar Imam Nawawi, membunuh babi dalam maksud baginda Nabi Isa berusaha hendak menghilangkan segala kemungkaran, hatta sekecil-kecil perkara.

 

[6] Demikian juga, meletakkan Jizyah. Dalam hadis, digunakan perkataan  وَيَضَعَ الْجِزْيَةَ.

 

[7] Dalam hadis juga menyebut perkataan  وَيَفِيضُ الْمَالُ حَتَّى لَا يَقْبَلَهُ أَحَدٌ- harta terhimpun hingga tidak diterima oleh seorang pun.

 

Kata al-Nawawi, maksudnya adalah manusia terlalu focus dengan ibadat sehingga mereka tidak lagi berharap kepada wang kerana mereka hanya berfikir berkenaan kiamat.

 

Qadhi Iyad pula kata, maksudnya adalah manusia sudah anggap solat itu lebih besar berbanding sedekah di dunia kerana setiap pihak sudah kaya, dan masing-masing sudah dapat menderma dan bersedekah. Dengan itu, mereka berlumba-lumba dalam hal solat pula.

 

Semua pentafsiran ini kerana melihat kepada tambahan matan dalam riwayat SOLEH.

وَحَتَّى تَكُونَ السَّجْدَةُ الْوَاحِدَةُ خَيْرًا مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا

 

PERBAHASAN SANAD

 

Hadis ini ada dalam Ahmad (2/494), al-Bukhari (3448), Abu Daud (4324) dan al-Tarmizi (2234).

 

PENGAJARAN

 

[1] NABI ISA BUKAN NABI AKHIR ZAMAN

 

Apabila Nabi Isa bukan membawa syariat baru atau membawa syariat Nabi Isa, sebaliknya melaksanakan keadilan berasaskan kepada syaariat Nabi Muhammad saw; ini menolak dakwaan Nasrani yang cuba manipulasi hadis ini dengan mendakwa bahawa Nabi Isa adalah nabi akhir zaman, bukan Nabi Muhammad saw.

 

Di sini dapat difahami bahawa, maksud Nabi akhir zaman, bukan semata-mata individu Nabi Muhammad, tetapi semua yang menyangkuti Nabi Muhammad seperti syariat baginda—nabi lain, andai hidup di zaman kini pun, mereka ikut syariat Nabi Muhammad saw.

 

[2] NABI ISA TIDAK MATI

 

Apabila Nabi Isa turun di akhir zaman, apakah ini bukti bahawa Nabi Isa belum mati?

 

Ada beberapa perbahasan ulama dalam hal ini seperti berikut;

 

PERTAMA: NABI ISA DIANGKAT KE LANGIT DALAM KEADAAN TIDAK MATI.

 

Antara yang berpendapat sebegini adalah IBN TAIMIYYAH, AL-SYANQITI dan sebagainya.

 

DALIL: Dalam al-Quran, Allah sebut:

 

وَقَوْلِهِمْ إِنَّا قَتَلْنَا الْمَسِيحَ عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ رَسُولَ اللَّهِ وَمَا قَتَلُوهُ وَمَا صَلَبُوهُ وَلَكِنْ شُبِّهَ لَهُمْ وَإِنَّ الَّذِينَ اخْتَلَفُوا فِيهِ لَفِي شَكٍّ مِنْهُ مَا لَهُمْ بِهِ مِنْ عِلْمٍ إِلَّا اتِّبَاعَ الظَّنِّ وَمَا قَتَلُوهُ يَقِينًا (157) بَلْ رَفَعَهُ اللَّهُ إِلَيْهِ وَكَانَ اللَّهُ عَزِيزًا حَكِيمًا (158) وَإِنْ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ إِلَّا لَيُؤْمِنَنَّ بِهِ قَبْلَ مَوْتِهِ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يَكُونُ عَلَيْهِمْ شَهِيدًا (159) – النساء

dan kerana ucapan mereka: "Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih, Isa anak Maryam, Rasul Allah, padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak (pula) menyalibnya, tetapi (yang mereka bunuh ialah) orang yang diserupakan dengan Isa bagi mereka. Sesungguhnya orang-orang yang berselisih faham tentang (pembunuhan) Isa, benar-benar dalam keragu-raguan tentang yang dibunuh itu. Mereka tidak mempunyai keyakinan tentang siapa yang dibunuh itu, kecuali mengikuti sangkaan belaka, mereka tidak (pula) yakin bahawa yang mereka bunuh itu adalah Isa * Tetapi (yang sebenarnya), Allah telah mengangkat Isa kepada-Nya. Dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana * Tidak ada seorangpun dari Ahli Kitab, kecuali akan beriman kepadanya (Isa) sebelum kematiannya. Dan di hari kiamat nanti Isa itu akan menjadi saksi terhadap mereka”

 

Dalam ayat ini, ada perkataan:

وَمَا قَتَلُوهُ وَمَا صَلَبُوهُ

“mereka tidak membunuhnya dan tidak mensalibkannya”

 

Dan ayat:

وَإِنْ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ إِلَّا لَيُؤْمِنَنَّ بِهِ قَبْلَ مَوْتِهِ

“tidak ada dari kalangan ahli kitab kecuali mereka beriman dengannya sebelum kematiannya”

 

KEDUA: NABI ISA DIANGKAT DALAM KEADAAN SUDAH MATI

 

Dalam pendapat ini, mereka nyatakan Nabi Isa sudah mati. Tetapi, dihidupkan kembali dan diturunkan untuk melaksanakan apa yang diceritakan dalam hadis.

 

Hujah mereka adalah firman Allah:

 

إِذْ قَالَ اللَّهُ يَا عِيسَى إِنِّي مُتَوَفِّيكَ وَرَافِعُكَ إِلَيَّ وَمُطَهِّرُكَ مِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا وَجَاعِلُ الَّذِينَ اتَّبَعُوكَ فَوْقَ الَّذِينَ كَفَرُوا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ ثُمَّ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأَحْكُمُ بَيْنَكُمْ فِيمَا كُنْتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ (55) – ال عمران

(Ingatlah), ketika Allah berfirman: "Wahai Isa, sesungguhnya Aku akan menyampaikan kamu kepada akhir ajalmu dan mengangkat kamu kepada-Ku serta membersihkan kamu dari orang-orang yang kafir, dan menjadikan orang-orang yang mengikuti kamu di atas orang-orang yang kafir hingga hari kiamat. Kemudian hanya kepada Akulah kembalimu, lalu Aku memutuskan diantaramu tentang hal-hal yang selalu kamu berselisih padanya”

 

Dalam ayat ini, ada perkataan إِنِّي مُتَوَفِّيكَ yang ditafsirkan mereka sebagai WAFAT. Dengan itu, mereka simpulkan bahawa Nabi Isa sudah mati.

 

BANTAHAN: Penghujahan ini dibantah bahawa perkataan متوفي tidak semestinya bermakna mati. Hal ini kerana, terdapat beberapa ayat dalam al-Quran yang menggunakan perkataan yang sama, tetapi bermakna tidur.

 

Contohnya, firman Allah:

 

وَهُوَ الَّذِي يَتَوَفَّاكُمْ بِاللَّيْلِ وَيَعْلَمُ مَا جَرَحْتُمْ بِالنَّهَارِ ثُمَّ يَبْعَثُكُمْ فِيهِ لِيُقْضَى أَجَلٌ مُسَمًّى ثُمَّ إِلَيْهِ مَرْجِعُكُمْ ثُمَّ يُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ (60) – الأنعام

Dan Dialah yang menidurkan kamu di malam hari dan Dia mengetahui apa yang kamu kerjakan di siang hari, kemudian Dia membangunkan kamu pada siang hari untuk disempurnakan umur(mu) yang telah ditentukan, kemudian kepada Allah-lah kamu kembali, lalu Dia memberitahukan kepadamu apa yang dahulu kamu kerjakan”

 

Juga firman Allah:

 

اللَّهُ يَتَوَفَّى الْأَنْفُسَ حِينَ مَوْتِهَا وَالَّتِي لَمْ تَمُتْ فِي مَنَامِهَا فَيُمْسِكُ الَّتِي قَضَى عَلَيْهَا الْمَوْتَ وَيُرْسِلُ الْأُخْرَى إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ (42) – الزمر

Allah memegang jiwa (orang) ketika matinya dan (memegang) jiwa (orang) yang belum mati di waktu tidurnya; maka Dia tahanlah jiwa (orang) yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia melepaskan jiwa yang lain sampai waktu yang ditetapkan. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda- tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir”

 

Bahkan, kadangkala perkataan mati pun, boleh dirujuk kepada  makna tidur. Antaranya doa Nabi saw ajar semasa bangun dari tidur;

 

عَنِ الْبَرَاءِ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، كَانَ إِذَا أَخَذَ مَضْجَعَهُ قَالَ: «اللهُمَّ بِاسْمِكَ أَحْيَا، وَبِاسْمِكَ أَمُوتُ» وَإِذَا اسْتَيْقَظَ قَالَ: «الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَحْيَانَا بَعْدَمَا أَمَاتَنَا، وَإِلَيْهِ النُّشُورُ» - مسلم, 2711

Al-Bara’ kata: Apabila Nabi saw di pembaringan, baginda membaca: Ya Allah, dengan nama kamu aku hidup, dengan nama Kamu, aku mati”. Apabila bangun dari tidur, baginda baca: Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami selepas kamu matikan kami, dan kepadaNya tempat kembali”

 

Justeru, pendapat ini mengatakan bahawa Nabi Isa tidak mati, tetapi diangkat ke langit dalam keadaan baginda tidur. Ini adalah pendapat Soleh Usaimin (al-Ta’liq ‘Ala Muslim: 1/501).

 

[3] ISA TIDAK BAWA TOLERANSI AGAMA?

 

Dalam hadis, dipamerkan ada beberapa perkara yang dilakukan oleh Nabi Isa:

a.                  Patahkan salib.

b.                  Bunuh babi.

c.                   Letak Jizyah.

 

Dalam pada itu, Nabi Isa bukan membawa syariat baru, tetapi melaksanakan syariah Nabi Muhammad saw.

 

Justeru, apakah nabi Isa tidak toleransi kepada agama lain?

 

Hadis ini, jika dilihat pada sambungannya, ada disebutkan:

 

وَيَفِيضُ الْمَالُ حَتَّى لَا يَقْبَلَهُ أَحَدٌ

Harta berlimpah sehingga tidak ada seorang pun mahu menerimanya.

 

Dalam Mutaba-ah 1, ada tambahan matan:

 

وَحَتَّى تَكُونَ السَّجْدَةُ الْوَاحِدَةُ خَيْرًا مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا

Sehingga satu sujud lebih baik daripada dunia dan isi-isi dunia.

 

Dalam mutaba-ah 2 pula, ada penambahan matan:

 

وَلَتَذْهَبَنَّ الشَّحْنَاءُ وَالتَّبَاغُضُ وَالتَّحَاسُدُ، وَلَيَدْعُوَنَّ إِلَى الْمَالِ فَلَا يَقْبَلُهُ أَحَدٌ

“hilanglah permusuhan, saling melakukan kebencian dan hasad  dan akan mengajak untuk menerima harta (sedekah) namun tidak ada seorang pun yang menerimanya

 

Dari ini, konteks hadis ini menggambarkan bahawa ketika itu keadaan semakin aman, sudah tidak ada permusuhan dan prejudis antara sesame manusia.

 

Dalam gambaran bahawa ketika itu, tidak ada lagi penganut NASRANI—mereka sudah memeluk agama islam. Hal ini dikuatkan dengan firman Allah:

 

وَإِنْ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ إِلَّا لَيُؤْمِنَنَّ بِهِ قَبْلَ مَوْتِهِ (159) – النساء

“tidak ada dari kalangan ahli kitab kecuali mereka beriman dengannya sebelum kematiannya”

 

Apabila sudah tidak ada lagi penganut Nasrani, maka tidak perlu lagi Salib, Babi dan Jizyah kerana mereka sudah beriman dengan Nabi Muhammad sepertimana dakwah Nabi Isa.

 

Kata Ibn kathir dalam Tafsir beliau:

 

فَحِينَئِذٍ يُؤْمِنُ بِهِ أَهْلُ الْكِتَابِ كُلُّهُمْ؛ لِأَنَّهُ يَضَعُ الْجِزْيَةَ وَلَا يَقْبَلُ إِلَّا الْإِسْلَامَ.

“ketika itu, semua ahli kitab beriman dengannya, kerana mereka telah gugur jizyah, tidak menerima keciali islam” (Tafsir ibn kathir: 2/47)

 

BIOGRAFI PERAWI

 

[5] QUTAIBAH BIN SA’ID (150H-240H)

قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ

 

Nama penuhnya adalah ABU RAJA’ QUTAIBAH BIN SA’ID AL-BALGHANI AL-BALKHI أبو رجاء قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ البغلاني البلخي

 

Dia berasal dari Balkh, Afghanistan. Dia adalah guru semua imam kutub Sittah kecuali Ibn Majah sahaja ambil hadisnya dengan ada perantara, iaitu melalui Muhamad bin Yahya al-Zuhli dan Ibn Abi Syaibah. Dia merupakan murid kepada Imam Malik dan Imam al-Lais.

 

Menurut Abu Daud, dia masuk ke Baghdad tahun 216 hijrah. Apabila sampai di situ, Imam Ahmad dan Yahya datang berjumpa dengan dia.

 

Abu Hatim al-Razi pula kata, apabila dia sampai di Baghdad, Imam Ahmad datang belajar hadis darinya. Abu Bakar bin Abi Syaibah dan Ibn Numair dari Kufah datang ke Baghdad untuk buat ujian kekuatan hafalan dia, serta dia buat ujian juga pada kekuatan hafalan dua ulama kufah tersebut. Kejadian itu berlaku sampai ke subuh. Dia ada perawi siqah lagi sahih.

 

[5] MUHAMMAD BIN RUMH (150H-242H)

مُحَمَّدُ بْنُ رُمْحٍ

 

Nama penuhnya adalah MUHAMMAD BIN RUMH BIN AL-MUHAJIR BIN MUHARRIR AL-TAJIBI AL-MISRI. Panggilannya ABU ABDULLAH. Dia adalah guru Muslim dan Ibn Majah.

 

ABU HATIM senaraikan dia dari kalangan siqah. AHMAD BIN SYUAIB AL-NASAIE kata, dia tidak pernah silap walaupun satu hadis. hampir semua ulama kata dia adalah siqah.

 

[4] LAIS BIN SA’AD BIN ABDUL RAHMAN BIN AL-HARIS AL-FAHMI ABU AL-HARIS AL-MISRI AL-QALQASYANDI (94H-175H)

لَيْثٌ بن سعد بن عبدالرحمن بن الحارث الفهمي ابو الحارث المصري القلقشندي

 

Salah Seorang ulama fiqh yang terkenal sehingga dikatakan mempunyai mazhab sendiri yang disebut sebagai Mazhab al-Lais.

 

al-Imam al-Syafie pernah berkata:

 

الليث أفقه من مالك، إلا أن أصحابه لم يقوموا به

“al-Lais itu lebih faqih berbanding Malik. Namun, murid-muridnya tidak kembangkannya”

 

Dia dilahirkan di Qalqasyandah, Mesir, tetapi asal keturunannya adalah dari Farsi, iaitu dari ASBAHAN.

 

kealimannya dalam bidang fiqh amat dihormati oleh para ulama pada zaman itu. Seorang ulama bernama ABDULLAH BIN WAHAB AL-MISRI pernah berkata:

 

لولا الليث ومالك لضللنا

“kalau tidak kerana al-Lais dan Malik, sudah pasti kita akan tersesat”

 

Dia terkenal dengan zuhud serta pemurah, walaupun dia bukan dari kalangan orang kaya. Dikatakan bahawa setiap terjadi musim sejuk dan musim panas, dia pasti akan membuat majlis makan dengan menjemput orang-orang miskin; dijamukan mereka madu dan keju, sedangkan dia selalu hanya makan roti berlaukkan minyak zaitun sahaja.

 

Dikisahkan bahawa duit simpanannya selalu habis dengan memberi makan kepada fakir miskin menyebabkan wangnya selalu tidak cukup haul untuk membayar zakat.

 

Dia meninggal empat tahun sebelum kematian Imam malik.

 

Dia adalah Rijal al-Kutub al-Sittah, dan seorang perawi yang siqah lagi sahih.

 

[3] MUHAMMAD BIN MUSLIM BIN UBAIDILLAH BIN ABDILLAH AL-AKBAR BIN SYIHAB AL-QURASHI AL-ZUHRI (53H-124H)

محمد بن مسلم بن عبيد الله بن عبد الله الأكبر بن شهاب القرشي الزُّهْرِيِّ

 

Salah seorang ulama hadis yang terkenal dalam kitab-kitab hadis. Beliau merupakan rijal kutub al-Sittah.

 

Dalam kitab-kitab hadis, kadangkala disebut dengan Ibn Syihab dan kadangkala disebut dengan al-Zuhri.

 

Menurut Ibn Hajar al-Asqalani bahawa beliau adalah ulama yang mula-mula sekali menghimpunkan hadis atas perintah dari Umar bin Abdul Aziz. Al-Imam al-Sayuti menyatakan bahawa Imam Malik juga mengakui perkara yang sama.

 

Ulama Tarikh berbeza pendapat dalam hal Tarikh lahir dan Tarikh meninggal Ibn Syihab ini. Ada yang mengatakan bahawa dia lahir tahun 49H dan meninggal pada tahun 124 hijrah.

 

Ada pendapat menjelaskan, untuk mengetahui ketepatan Tarikh lahirnya adalah melihat Tarikh kematian Saidatina Aisyah; yang mana, dia dilahirkan di tahun Aisyah meninggal dunia.

 

Dia dilahirkan di Madinah dan meninggal dunia di Syaghab, iaitu satu kawasan dalam Saudi pada hari ini. Dia pernah sampai ke Syam.

 

Dia pernah berkata bahawa dia belajar dengan Sa’id bin Musayyib selama 8 tahun dengan bertemu lutut dan lutut.

 

Dia terkenal dengan hafalan dan ingatan yang kuat. Ada dakwaan mengatakan bahawa dia tidak suka makan epal dan amat suka minum madu dengan alasan epal boleh melemahkan hafalan sedangkan madu dapat menguatkan hafalan.

 

[2] SA’ID BIN AL-MUSAYYAB (15H-94H)

سَعِيدِ بْنِ الْمُسَيِّبِ

 

Pada nama bapanya, lebih mayshur dibaca dengan MUSAYYAB berbanding dibaca dengan MUSAYYIB. Namun, bacaan penduduk Madinah dengan MUSAYYIB.

 

Dia adalah Tabiin yang mempunyai keluasan ilmu yang tinggal di Madinah. Digelar sebagai Ulama penduduk Madinahعالم أهل المدينة dan penghulu para tabiin سيد التابعين dan dia salah seorang Fuqaha’ al-Sab’ah (tujuh orang tabiin yang alim fiqh menjadi rujukan Umar bin Abdul Aziz).

Dia dilahirkan dan meninggal di Madinah. Semasa Saidina Umar meninggal dunia (23H), umurnya baru 8 tahun.

 

Dia dari keturunan Quraish. Bapanya adalah sahabat Nabi yang terlibat dalam sejarah Bai’ah di bawah pokok. Atuknya bernama Huzn حزن juga adalah sahabat yang terbunuh dalam perang Hari Yamamah.

 

Nama ibunya Ummu Sa’id binti Hakim bin Umayyah bin Harisah bin al-Awqas al-Sulamiyyah.

 

Dia dibesarkan di Madinah dan mula menuntut ilmu juga di situ. Dia sempat menuntut ilmu dari beberapa orang sahabat Nabi seperti Zaid bin Sabit, Sa’ad bin Abi Waqas, Ibn Abbas, Ibn Umar, bahkan sempat mendengar hadis dari dua isteri Nabi, iaitu Aisyah dan Ummu Salamah.

 

Dia juga mendengar hadis dari Osman bin Affan, ‘Ali bin Abi Talib, Suhaib al-Rumi dan Muhammad bin Maslamah. Dia juga melazimi Abu Hurairah serta menjadi menantu kepada Sahabat Nabi itu.

 

Dia terkenal dengan kefaqihan, kerana dia sudah memberi fatwa semasa sebilangan besar sahabat-sahabat Nabi masih hidup lagi. Malahan, Ibn Umar pernah kata: dia (Sa’id) demi Allah adalah salah seorang para mufti.

 

Bahkan pernah terjadi bahawa Ibn Umar apabila ditanya sesuatu perkara yang dia ragu jawapannya, dia akan kata: kamu pergi tanya Sa’id kerana dia selalu duduk bersama dengan orang-orang soleh.

 

Cucu Saidina Ali yang bernama Ali bin al-Husain pernah berkata: Ibn Musayyib ini amat tahu berkenaan atsar terdahulu, dan orang yang paling faqih dalam kalangan mereka.

 

Dia terkenal dengan ibadat, sehinggakan dia tidak pernah meninggalkan solat Jemaah selama 40 tahun. Dalam jangka 30 tahun, sebelum azan dilaungkan dia sudah berada di masjid.

 

Dia meninggal di era pemerintahan al-walid bin Abdul Malik.

 

Beliau adalah salah seorang rijal kutub al-Sittah.

 

[1] ABU HURAIRAH (12SH-59H)

 أَبَو هُرَيْرَةَ

 

Dia dilahirkan di Yaman dari etnik DUS AL-AZDIYYAH دوس الأزدية dan meninggal dunia di Madinah, dan kuburnya di Baqi’.

 

Sebelum memeluk Islam, namanya Abdul al-Syams bin Sakhar. Setelah memeluk islam, namanya ditukar kepada Abdul Rahman bin Sakhar.

 

Ada banyak riwayat menyatakan nama beliau dengan nama yang lain. Ada riwayat menyatakan, namanya Abdul Rahman bin Ghanm, ada kata Abdun bin Ghanm dan banyak lagi.

 

Sebab beliau digelar Abu Hurairah kerana kecenderungannya yang amat kuat dalam menyanyanyi anak-anak kucing. Dalam sebutan Arab, perkataan Hurairah bermaksud anak kucing yang kecil.

 

Dia memeluk Islam setelah mendengar ajaran Islam melalui seorang sahabat bernama AL-TUFAIL BIN AMRU AL-DUSI.

 

Selepas peluk islam tahun 7 hijrah, dia hijrah dari Yaman ke Madinah bersama beberapa orang dari etnik Dusi.

 

Dia sampai di Madinah semasa penduduk Madinah sedang sebuk perang Khaibar yang dengan itu menyebabkan ulama Islam khilaf berkenaan keterlibatan dia dalam perang tersebut. Imam Ibn Abdul Bar kata, dia terlibat dalam perang terbabit.

 

Sebelum Nabi wafat, beliau tidak berkahwin kerana mahu fokus untuk belajar dengan Nabi, berkhidmat dengan Nabi dan para isteri nabi. Beliau tinggal di beranda masjid Nabi—disebut Ahli Sufah.

 

Selepas kewafatan Nabi, beliau berkahwin dengan seorang perempuan bernama BUSRAH BINTI GHAZWAN.

 

Di era Umar bin al-Khattab menjadi Khalifah, Abu Hurairah dilantik menjadi Gabenor di Bahrain.

 

Semasa dekat saat kematian, beliau ada berpesan agar tidak ada sesiapa pun meratap kematiannya dan beliau minta agar segerakan tanam jenazahnya.

 

Beliau adalah sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis yang al-Zahabi menyatakan, hadis yang Abu Hurairah riwayatkan mencecah angka sebanyak 5374 buah hadis.

 



[1] Dalam naskhah lain, disebut: والله

No comments:

Post a Comment

HADIS 159 (SYAWAHID HADIS 158) (MUTABA-AH 1-2-3)

  HADIS 159 (SYAWAHID HADIS 158)   حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ أَيُّوبَ وَ إِسْحَاقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ جَمِيعًا عَنِ ابْنِ...